• PDRM timbang beri kuasa kepada guru kadet polisAyub menyempurnakan upacara menanam pokok bunga di Pulapol Rantau Abang, pagi semalam.


DUNGUN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menimbang untuk memberi kuasa kepada guru kadet polis seperti sukarelawan polis dalam usaha pihak berkuasa itu membanteras jenayah.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakub berkata, perkara tersebut masih dalam peringkat kajian dan ia akan dilaksanakan setelah melihat beberapa sudut lain yang difikirkan dapat membantu polis mencegah jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, selain melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik, guru kadet juga boleh mewujudkan persekitaran lebih selamat dengan menunjukkan imej polis ketika berada di sekolah dan di tempat awam.

“Bila mereka dah pakai uniform, kenapa kita tidak boleh beri kuasa polis seperti sukarelawan polis (PVR), dengan cara ini mereka ada kuasa untuk buat tugas kepolisan.

“Dengan adanya cikgu pakai uniform polis, masyarakat akan melihat kehadiran polis, situasi ini akan memberi keyakinan kepada ibu bapa dan masyarakat, keselamatan anak-anak juga terjaga," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Guru-guru Kor Kadet Polis di Pusat Latihan Polis Rantau Abang, dekat sini, pagi semalam.

Ayub berkata, untuk memastikan idea itu dapat dilaksanakan, PDRM akan memberikan latihan dengan kuasa undang-undang bersesuaian agar guru kor kadet polis dapat melaksanakan tugas kepolisan.

“Selain tugas sebagai pendidik, guru kadet polis ini juga dapat merasakan tanggungjawab sebagai polis.

“Mungkin dalam keadaan tertentu, sebagai tambahan mereka dapat bantu buat penugasan lain,” katanya.