Rabu, 20 Ogos 2014

Info : KENYATAAN AKHBAR MENGENAI PERMOHONAN PELAJAR STPM/MATRIKULASI/ASASI KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI AKADEMIK 2014/2015


KENYATAAN AKHBAR MENGENAI PERMOHONAN PELAJAR STPM/MATRIKULASI/ASASI KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI AKADEMIK 2014/2015



KENYATAAN AKHBAR MENGENAI PERMOHONAN PELAJAR STPM/MATRIKULASI/ASASI
KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI AKADEMIK 2014/2015

18 OGOS 2014

Kementerian Pendidikan Malaysia amat prihatin dengan isu pelajar lepasan STPM/Matrikulasi/ Asasi  yang lulus dengan cemerlang tetapi tidak mendapat tawaran di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam atau gagal memperoleh kursus pilihan pertama yang di mohon.
KPM ingin memaklumkan kejayaan calon untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit danpemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon. Jika merit calon tidak begitu tinggi dan memohon program pengajian kompetitif, berkemungkinan besar calon tidak terpilih untuk ditawarkan program pengajian dalam pilihan mereka. Begitu juga jika calon hanya memohon di IPTA yang popular, calon akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.
Bagi kemasukan Sesi Akademik 2014/2015, sejumlah 74,071 calon lepasan STPM/Matrikulasi/ Asasi telah mengemukakan permohonan. Daripada jumlah ini seramai 29,963 (42.4%) calon memohon adalah daripada aliran Sains dan 44,108 (59.5%) adalah daripada aliran Sastera.
Berdasarkan permohonan yang diterima, seramai 67,388 (90.9%) adalah calon yang layak dan melepasi Syarat Am Universiti serta Syarat Khas Program Pengajian. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 16.5%berbanding sesi yang lepas.
Sejumlah 37,467 (55.6%) daripada calon yang layak telah berjaya mendapat tawaran di 19 IPTA.
Pada tahun ini bilangan keseluruhan calon Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 yang telah memohon di IPTA pada sesi Akademik 2014/2015  adalah seramai 3,069. Dari bilangan itu, seramai 3,062 calon PNGK 4.00 telah mendapat tawaran di IPTA.
Ramai calon cemerlang yang memperoleh PNGK 4.00 telah memohon program kompetitif seperti perubatan, pergigian dan farmasi.
KPM ingin menjelaskan bilangan tempat yang disediakan adalah sangat terhad berbanding dengan bilangan pelajar yang memohon.
Sebagai contoh, bagi program perubatan, hanya 418 tempat yang ditawarkan sedangkan pemohon daripada calon PNGK 4.00 sahaja adalah seramai 1,163 orang. Ini tidak lagi mengambil kira calon PNGK 3.99 dan kebawah yang telah juga memohon program perubatan.
Bagi program pergigian pula hanya 80 tempat ditawarkan manakala pemohon  adalah seramai 261 orang dan sebanyak 119 tempat ditawarkan bagi program farmasi sedangkan seramai  313 calon telah memohon.
Seramai 109 calon PNGK 4.00 telah ditawarkan program di luar bidang pilihan mereka, manakala 7 calon PNGK pula tidak mendapat tempat kerana tidak melepasi Syarat Am Universiti iaitu tidak lulus MUET(Malaysian University English Test Band 1).
Calon 109 calon yang di tawarkan bukan pilihan pelajar adalah kerana pogram yang dipilih adalah sangat kompetitif dan tempat itu telah ditawarkan kepada calon yang mempunyai merit yang lebih baik.
Oleh yang demikian, tidak semua calon PNGK 4.00 yang memohon boleh ditawarkan program kompetitif ini.
Walaubagaimanapun, proses permohonan kemasukan ke universiti awam masih belum selesai. Universiti awam kini sedang memulakan proses meneliti permohonan rayuan yang dikemukakan oleh calon yang tidak mendapat tempat. 
Seperti tahun-tahun yang lepas, KPM menyediakan ruang untuk calon merayu selepas pengumuman keputusan permohonan ke universiti awam. Sistem rayuan ke universiti awam adalah secara atas talian. Aplikasi e-Rayuan dibuka untuk capaian melalui Laman Web Rasmi Kemasukan di upu.moe.gov.my mulai 12 Ogos 2014 (Selasa), jam 12.00 tengah hari. Hanya calon yang gagal menerima sebarang tawaran ke universiti awam sahaja dibenar mengemukakan rayuan melalui Aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan. Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 22 Ogos 2014, jam 12:00 tengah malam. 
Rayuan ini memberi peluang kepada calon yang telah memohon dan tidak menerima tawaran di universiti awam untuk membuat rayuan kepada KPM. Antara sebab-sebabnya adalah kerana :
  • Calon memohon mengikuti program kompetitif dalam kesemua 12 pilihan semasa mengemukakan permohonan dan calon menyatakan tidak berminat untuk menerima tawaran bagi program-program lain yang ditawarkan oleh universiti awam;
  • Calon  tidak memenuhi syarat kemasukan program yang dipohon;
  • Calon tidak diperakukan selepas menjalani temuduga walaupun syarat kemasukan program telah dipenuhi; dan
  • Program yang dipohon oleh calon sudah penuh.
Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT),KPM juga telah membuka kaunter semakan status keputusan permohonan kemasukan ke IPTA di Aras 4, No.2 Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62200 W.P. Putrajaya mulai 12 Ogos hingga 18 Ogos 2014 dan di Ruang Galeri,  Lobi  Bangunan Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia mulai 19 Ogos sehingga 22 Ogos 2014  untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara. BPKP JPT turut menyediakan perkhidmatan untuk membantu menjawab sebarang pertanyaan melalui saluran Talian Khidmat Bantu (Helpline) di talian 03-8870 6767 atau Hotline di talian 03-8870 6777 atau melalui e-mel di alamatupu@moe.gov.my.
KPM juga ingin memaklumkan bahawa pengajian tinggi tidak terhad hanya pada aliran akademik di universiti sahaja. Bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) merupakan bidang yang menawarkan peluang pekerjaan dan pengajian yang lebih tinggi. TEVT boleh diikuti melalui program-program pengajian yang ditawarkan oleh Malaysian Technical University Network (MTUN) yang terdiri daripada UTeM, UMP, UTHM, UniMAP serta Politeknik dan Kolej Komuniti.
Setiap tahun Politeknik menyediakan 38,000 tempat dan 18,000 tempat di Kolej Komuniti. Pengambilan Sesi Disember di Politeknik akan dibuka mulai 17 Ogos sehingga 25 September 2014 dengan bilangan tempat sebanyak 16,000. Sila gunakan peluang ini untuk mendapatkan tempat di IPT.


Kementerian Pendidikan Malaysia


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...