• PUM Permata dedah dunia usahawanPelajar SMK Jalan Kebun merakamkan gambar kenangan bersama Azlan selepas menerima Anugerah Syarikat Terbaik dalam Konvensyen Program Usahawan Muda (PUM) Permata Selangor, di Shah Alam Convention Centre (SACC), semalam.
 1 / 1 
SHAH ALAM - Program Usahawan Muda (PUM) Permata Selangor berjaya mendedahkan dunia keusahawanan sebenar kepada 17,150 pelajar sekolah menengah sejak ia diperkenalkan pada tahun 1998.

Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah berkata, program itu sehingga kini berjaya menubuhkan 679 syarikat sendirian berhad di 50 sekolah menengah dalam negeri ini sejak 16 tahun lalu.

“Program yang bermula dengan penglibatan 10 sekolah saja pada awal penubuhannya itu, disertai pelajar tingkatan dua dan empat seluruh Selangor.

“Antara bidang perniagaan yang diceburi ialah pemborongan, perkhidmatan, pelancongan, pertanian, penternakan, makanan dan minuman, bioteknologi serta bidang teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Program Usahawan Muda (PUM) Permata Selangor, di Shah Alam Convention Centre (SACC), semalam.

Azlan berkata, PKNS akan terus komited dalam melaksanakan program pembangunan usahawan kepada generasi muda kerana golongan tersebut bakal menerajui negara pada masa hadapan.

“Kita ingin memupuk dan membentuk budaya usahawan di kalangan pelajar supaya kita boleh mendedahkan kepada mereka yang keusahawanan ini juga boleh dijadikan kerjaya.

“Ini juga secara tidak langsung dapat membuka mata dan minda mereka bahawa bidang keusahawanan ini juga boleh diterokai,” katanya.

PUM Permata merupakan program anjuran PKNS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) dan setiap tahun, para peserta di sekolah terpilih berpeluang menubuhkan syarikat bertaraf sendirian berhad dan PKNS bertanggungjawab menjadi pendaftar syarikat.

“Setiap syarikat yang ditubuhkan pula mempunyai 25 orang pemegang saham dan lima daripadanya merupakan ahli lembaga pengarah.

“Antara pengiktirafan yang diberi ialah Anugerah Syarikat Terbaik, Anugerah Pengurus Terbaik, Anugerah Produk Terbaik, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Guru Pembimbing Terbaik, Anugerah Pengetua Terbaik, Anugerah Pekerja Terbaik, Anugerah Laporan Kewangan, Anugerah Sekolah Terbaik dan Anugerah Harapan,” ujarnya lagi.

Selain PUM, katanya, Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) mempunyai 14 program yang dirangka khas bagi membangunkan usahawan daripada pelbagai golongan sasar.

“Daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah, siswazah mahupun syarikat yang sudah bertapak di pasaran niaga, semuanya merupakan anak angkat kepada BPU.

“Saya juga yakin menerusi pelbagai inisiatif yang kita perkenalkan ini, BPU mampu menjadi platform pentih dalam mengukuhkan usahawan sedia ada malah boleh membentuk pelapis dalam dunia perniagaan dan perindustrian Bumiputera,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar program PUM Permata ini dapat memberi manfaat oleh para pelajar dalam mempelajari dunia perniagaan dan boleh dijadikan sebagai batu loncatan pada masa hadapan.


SMK Jalan Kebun muncul johan Anugerah Syarikat Terbaik 

Berbekalkan RM167 sebagai modal permulaan,  Syarikat Ilham Dagang Sdn Bhd dari SMK Jalan Kebun, Shah Alam yang ditubuhkan pada Februari 2013 mampu menjana keuntungan bersih RM45,000 dalam tempoh setahun.

Pengarah Urusannya,  Muhammad Haris Rose Azman berkata, minatnya dalam perniagaan mendorongnya untuk mencuba nasib bergelar peniaga dalam usia muda.

“Kiosk yang kita buka berhampiran padang sekolah mampu menarik minat pelajar terutama sekali selepas bersukan.

“Kami menjual air, roti-roti dan pelbagai makanan ringan lain dengan harga murah. Selain itu, kita juga membuat perkhidmatan fotokopi dan mesin fotostat kita letak di bilik guru bagi memudahkan urusan,” katanya.

Menurutnya, bagi memulakan perniagaan memang agak sukar kerana kurang pengalaman tetapi hasil bantuan dan sokongan guru-guru, perniagaan yang mendapat kerjasama PKNS itu mampu berkembang maju.

“Kita juga menyediakan perkhidmatan simpan barang berhampiran padang sekolah. Jadi pelajar yang mahu menyimpan barang peribadi mereka, kita ada tempat untuk mereka sewa,” katanya.

Menjadi usahawan dalam usia muda juga memerlukan komitmen yang tinggi kerana bukan saja perlu bijak membahagikan masa dalam perniagaan, tetapi aspek akademik juga mesti dititik beratkan.

“PKNS membantu kita dalam menyediakan kursus keusahawanan dan kursus pengurusan syarikat, jadi dari situ, kita mampu uruskan syarikat kita sendiri dengan bantuan ahli lembaga pengarah yang lain,” katanya.

Haris turut bercita-cita mahu terus aktif dalam bidang perniagaan selepas tamat persekolahan dan berazam untuk membuka perniagaan cetakan baju di masa akan datang.
“Kalau boleh, saya tidak mahu berhenti setakat ini saja, kalau boleh mahu berniaga lagi, sebab puas bila cari duit sendiri,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/pum-permata-dedah-dunia-usahawan-1.283043