Rabu, 11 September 2013

Guru redah sungai 12 km ke sekolah.


KERALA, India - Seorang guru di India sanggup berenang meredah sungai sejauh 12 kilometer (km) setiap hari seawal pukul 9 pagi untuk ke sekolah di perkampungan Malappuram di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Abdul Mallik yang telah menjadi guru sejak 20 tahun lalu itu akan meredah air sungai yang mencecah paras leher dengan bantuan sebuah tiub tayar di pinggangnya.
Ketika berenang merentasi sungai, semua kelengkapan seperti pakaian, kasut dan bekalan makanan Mallik akan disimpan di dalam satu beg plastik dan dijulang dengan sebelah tangan hingga dia tiba ke seberang.
Walaupun sukar, ini adalah tanggungjawab yang menjadi rutin harian dan perlu dilakukan guru berusia 40 tahun itu untuk ke sekolah setiap hari.
"Jika saya ke sekolah dengan menaiki bas ia mengambil masa selama tiga jam untuk perjalanan sejauh 12 kilometer.
"Jadi, berenang merentasi sungai adalah lebih mudah, cepat dan saya boleh tiba ke sekolah tepat pada masanya," kata Mallik.
Menurut laporan media tempatan, Mallik akan menukar pakaian basahnya di belukar di tebing sungai dan meneruskan perjalanan menaiki bukit selama 10 minit untuk tiba ke sekolah.
Guru kerajaan seperti Mallik biasanya menerima gaji sebanyak Rs.25,000 (RM1,281). - Agensi

Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Rasmi SMK Jalan Kebun, Klang