Rabu, 3 September 2014

Semasa : Bahasa Inggeris akan jadi subjek wajib lulus di IPTA

B.I akan jadi subjek wajib lulus di IPTA 

B.I akan jadi subjek wajib lulus di IPTA - Muhyiddin

 
CYBERJAYA: Satu dasar baharu akan dilaksanakan bagi menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus, di samping bahasa Melayu, bagi pelajar di universiti awam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata beliau membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira seminggu lepas dan maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kelak.

"Pengetahuan asas sahaja tidak mencukupi bagi siswazah sekiranya mereka tidak mampu berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris.

"Syarikat mempunyai tanda aras tertentu. Mereka mahukan orang yang bukan sahaja memiliki kelayakan, tetapi juga yang boleh menjadi duta, yang boleh berkomunikasi dengan seluruh dunia dan antara perkara penting ialah kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis pelancaran Pemboleh Kebolehgajian Siswazah Cyberjaya Kedua (CGEE 2) di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin memuji pengerusi Setia Haruman Sdn Bhd Tan Sri Mustapha Kamal, yang mengetengahkan idea itu bagi memaju dan melaksanakan program CGEE, program pembinaan bakat untuk memperkasa, melatih dan menyediakan siswazah tempatan bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dengan syarikat berimpak besar, terutama di Cyberjaya.

Beliau berkata CGEE mempunyai potensi amat besar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara 'pengubah permainan', pencipa dan usahawan, bukan pengguna, dengan negara ini menjadi negara sumber yang memiliki pelbagai kekayaan, yang boleh ditawarkan kepada seluruh dunia.

"Saya juga dimaklumkan bahawa semua peserta daripada projek perintis CGEE pada 2013 telah mendapat pekerjaan yang baik, majoriti daripada mereka diambil bekerja oleh syarikat berimpak besar di Cyberjaya dan sesetengahnya di luar Cyberjaya," katanya.

Beliau berkata program tahun ini melibatkan 139 pelatih dari enam universti dan Yayasan Sime Darby, yang menjalani latihan di beberapa syarikat multinasional seperti HSBC, IBM, Tech Mahindra, Emerio dan AIG.

Berikutan kejayaan Projek Perintis CGEE pada 2013, Setia Haruman diberi peruntukan RM1.2 juta oleh Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan projek CGEE.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/b-i-akan-jadi-subjek-wajib-lulus-di-ipta-muhyiddin-43103?cp

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...