Pengajaran maya Frog VLE
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
MOHD. HANIFF HAFISZAL SEMAN, 33, berjalan mundar-mandir di sekeliling bilik makmal komputer yang terletak di tingkat dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), Putrajaya. Sesekali matanya liar memerhatikan gerak-geri pelajar-pelajar tahun tiga Alfa yang leka mengadap komputer masing-masing.
Mereka tampak begitu fokus, mungkin sedang gigih memerah otak menyelesaikan beberapa latihan matematik yang diberikannya sebentar tadi.
“Kelas, kamu semua ada 15 minit lagi. Pastikan semua soalan dijawab dengan sempurna dan disemak sebelum dihantar. Sesiapa mempunyai masalah, sila angkat tangan nanti cikgu akan bantu kamu,” katanya sambil melihat jam tangan yang dipakainya.
Lazimnya, begitulah kaedah pengajaran yang dipraktikkannya sejak setahun yang lalu.
Selepas menerangkan sesuatu konsep seperti yang ditetapkan dalam silibus, dia akan memberikan latihan kepada pelajar untuk meningkatkan kefahaman mereka.
Menariknya, Mohd. Haniff Hafiszal tidak menggunakan kaedah pengajaran konvensional di bilik darjah, sebaliknya selesa mengajar dengan bantuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi sistem pembelajaran maya, Frog VLE.
“Melalui sistem ini, kaedah pengajaran bukan sahaja menjadi mudah dan pantas malah lebih interaktif.
“Semua bahan pengajaran juga boleh diakses melalui satu pangkalan data membolehkan guru dan pelajar berkongsi maklumat yang sama,” ujarnya yang sudah tujuh tahun bergelar pendidik.
SK Putrajaya Persint 8(1) merupakan salah satu daripada 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di negara ini yang mengguna pakai aplikasi Frog VLE.
Diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama YTL Communications menerusi projek 1BestariNet sejak awal tahun lalu, sistem yang dibangunkan di United Kindom itu membolehkan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah dan lancar.
PENGGUNAAN Frog VLE menjadikan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah serta lancar.
Menerusinya juga, semua sekolah bakal dilengkapi akses internet berkelajuan tinggi 4G, platform pembelajaran bertaraf dunia dan akses kepada sumber dan teknologi sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.
Berasaskan web
Pengarah Eksekutif Frog Asia Sdn. Bhd., Yeoh Pei Lou berkata, Frog VLE adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.
Katanya, melalui sistem itu pendidikan tidak lagi terbatas dalam bilik darjah sahaja sebaliknya boleh dilakukan di mana jua, pada bila-bila masa.
“Sistem ini membenarkan pelajar dan guru untuk menghasilkan dan mengakses sebuah tapak pembelajaran secara dalam talian. Ia membolehkan mereka memperoleh hampir semua maklumat di internet seperti video, gambar, sumber pendidikan dan membinanya menjadi sebuah laman yang menarik tanpa memerlukan sebarang kepakaran teknikal.
“Apa yang lebih penting, limpahan sumber pengajaran dan aplikasi hebat yang ditawarkan itu adalah selamat dan telah ditapis,” katanya kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, Pei Lou berkata, sistem itu menggunakan platform Google Cloud yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi Google seperti Google Email, Google Drive dan sebagainya.
Pada masa yang sama, katanya, platform itu juga menawarkan bahan pengajaran berkualiti secara percuma seperti Khan Academy, Ted Education, National Georgaphic dan British Council selain apa yang disediakan oleh KPM.
“Ini akan memberi kelebihan kepada para guru untuk mencari bahan-bahan pengajaran yang sesuai dengan minat dan kemampuan pelajar mereka.
“Pada masa sama, mereka juga boleh menghasilkan bahan pengajaran sendiri dan berkongsi bersama guru lain di sekolah atau di seluruh negara,” ujarnya.
PEMBELAJARAN secara interaktif melalui Frog VLE mampu meningkatkan minat dan kefahaman pelajar terhadap sesuatu subjek.
Jelas Pei Lou, syarikat itu tidak sekadar menyediakan platform Frog VLE malah bertanggungjawab memastikan sistem itu dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
“Fasa-fasa akhir kini giat dilaksanakan termasuk menyediakan rangkaian internet berkelajuan tinggi di samping merangka sistem latihan dalam kalangan mereka yang terlibat di semua peringkat.
“Sebanyak 351 buah sekolah telah dipilih di bawah Program Sekolah Champion dan telah diberi bimbingan mengenai penggunaan Frog VLE secara komprehensif. Pada masa sama, kami turut melatih lebih 671 kakitangan di kementerian bagi tujuan yang sama,” katanya.
Kelebihan
Sementara itu, Tan Mui Meng, Ketua Panitia Bahasa Cina di sekolah itu berkata, sistem itu memberi kelebihan kepada semua pihak sama ada dalam kalangan pentadbir, para guru, pelajar dan ibu bapa.
Ujarnya, melalui sistem itu, semua maklumat dalam buku teks termasuk latihan dan kerja sekolah akan disimpan dalam satu pangkalan data.
“Ia dapat mengurangkan jumlah buku teks yang perlu dibawa oleh pelajar ke sekolah dan jumlah buku latihan yang perlu ditanda oleh guru setiap hari kerana peranan itu telah diambil alih oleh komputer.
“Dengan ini, guru dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajar serta merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
“Sementara itu, ibu bapa pula bukan sahaja dapat memantau perkembangan anak-anak mereka malah dapat mengetahui acara-acara di sekolah menerusi ruang kalendar, papan notis sekolah dan sebagainya melalui laman yang tersedia,” katanya.
Mudah
Bagi Tengku Amirah Zahiyah Tengku Amir Zakri, 10, pada mulanya dia sendiri agak kekok belajar menggunakan sistem itu namun semuanya menjadi mudah selepas mencubanya beberapa kali.
Katanya, penggunaan sistem pembelajaran maya membolehkannya berinteraksi atau bertanya soalan dengan guru biarpun selepas sesi persekolahan tamat.
“Sistem Frog VLE tidak sekadar boleh digunakan di sekolah semata-mata sebaliknya di mana-mana sahaja asalkan ia mempunyai kemudahan capaian internet,” katanya.
SISTEM Frog VLE membolehkan guru memberi lebih tumpuan kepada para pelajar.
Ujarnya, sistem itu juga menarik minatnya untuk belajar sesuatu subjek kerana bahan pengajaran yang disediakan berorientasikan pelbagai sumber dan bersifat interaktif.
“Pelajar mempunyai kebebasan membuat rujukan dan ulang kaji sehingga benar-benar faham mengenai subjek dipelajari biarpun tanpa bantuan guru. Ia menjadikan mereka lebih berdikari.
“Saya sendiri turut merasai kesan positif daripada Frog VLE. Jika sebelum ini purata markah bagi subjek matematik ialah sekitar 80 peratus, kini ia telah meningkat lebih 90 peratus dalam tempoh kurang setahun,” katanya tersenyum.
Rakannya, Wan Syamirul Azhan Shahrul Azman, 10, berkata, selain pembelajaran melalui nota dan video, pelajar juga boleh menjawab soalan kuiz, latihan, mendapatkan contoh soalan peperiksaan malah dapat mencuba permainan di akhir topik.
“Ia merupakan alternatif kepada kaedah pengajaran konvensional yang lazim berpusat di bilik darjah dan buku teks. Menerusi sistem ini pelajar bukan sahaja lebih tertarik untuk belajar, malah pada masa yang sama berpeluang meneroka ilmu lain yang terkandung di dalamnya,” jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm#ixzz2jW9pnP9d
Hakcipta terpelihara